
Purata bergerak bukan sekadar garisan berwarna-warni pada carta anda. Ia alat hebat yang boleh digunakan dalam strategi trading anda. Hari ini, kita akan mempelajari sesuatu yang baharu tentang salah satu jenis purata bergerak yang dipanggil Purata Bergerak Eksponen (EMA).
Apakah Itu Purata Bergerak Eksponen (EMA) dalam trading?
Ada empat jenis purata bergerak: ringkas (simple), eksponen (exponential), licin (smoothed), dan berwajaran linear (linear weighted). Perbezaan utamanya terletak pada kepekaannya terhadap perubahan dalam data yang digunakan dalam pengiraan.
Purata Bergerak Eksponen (EMA) memberikan pemberat yang lebih tinggi kepada harga terkini, manakala Purata Bergerak Ringkas (SMA) memberikan pemberat yang sama kepada semua nilai. Memandangkan EMA memberikan lebih pemberat kepada data terkini berbanding data lama, ia lebih reaktif terhadap perubahan harga terkini berbanding SMA. Itulah sebabnya sesetengah trader lebih menyukai Purata Bergerak jenis ini.
MA Ringkas vs MA Eksponen
Kedua-dua Purata Bergerak Eksponen (EMA) dan Purata Bergerak Ringkas (SMA) adalah indikator teknikal yang menggunakan data masa lalu untuk menjana garisan trend yang lancar untuk harga sekuriti. Perbezaan antara kedua-dua purata bergerak adalah bahawa EMA meletakkan berat yang lebih besar pada harga terkini, manakala SMA memberikan pemberat yang sama pada semua titik data, menyebabkan garisan EMA menyelekoh lebih cepat daripada garisan SMA.
Suatu jenis purata bergerak tidaklah lebih baik daripada yang lain. Purata bergerak yang optimum untuk digunakan untuk analisis bergantung pada strategi trading anda.
Walaupun EMA adalah perwakilan pergerakan harga terkini yang lebih tepat dan membantu mengenal pasti trend dengan lebih cepat, ia juga mengalami lebih banyak turun naik jangka pendek berbanding SMA.
Cara mengira Purata Bergerak Eksponen (EMA)
Pengiraan EMA sedikit lebih rumit daripada pengiraan SMA. Pertama sekali, anda perlu mengira Purata Bergerak Ringkas.
SMA = jumlah harga penutupan untuk bilangan tempoh masa yang ditetapkan / bilangan tempoh
Kemudian anda perlu mengira pekali untuk faktor pelicinan/pemberat untuk EMA sebelumnya.
Pekali = 2 / (bilangan tempoh + 1)
Akhir sekali, anda akan mendapat Purata Bergerak Eksponen untuk tempoh semasa.
EMA untuk tempoh semasa = (harga penutupan - EMA untuk tempoh sebelumnya) * pekali + EMA (tempoh sebelumnya)
Anda boleh menggunakan SMA sebagai EMA untuk tempoh sebelumnya jika anda mengira EMA buat kali pertama.
Dalam era teknologi ini, kita tidak perlu mengira sendiri purata bergerak. Komputer boleh melakukannya untuk kita.
Cara untuk set up EMA
Anda boleh paparkan EMA pada carta anda dalam aplikasi FBS dengan memilih carta yang anda ingin analisis, kemudian buka indikator tersebut. Cari EMA, tetapkan rangka masa (timeframe) yang diingini, dan terapkannya pada carta anda. Kini anda boleh menganalisis pergerakan harga dengan mudah dengan membandingkannya dengan indikator ini pada carta anda.

Untuk menggunakan Purata Bergerak Eksponen pada carta anda dalam kedua-dua MetaTrader 4 dan MetaTrader 5, pilih Insert – Indicators – Trend. Kemudian anda perlu mengklik pada butang Moving Average dan tukar kaedah MA kepada Exponential.
Anda juga boleh memilih tempoh, kaedah, dan juga warna EMA.


Trader yang berpengalaman biasanya mengira EMA berdasarkan harga penutupan.
Biasanya, EMA 8 dan 20 hari tempoh yang paling popular untuk trader intrahari, manakala EMA 50 dan 200 hari lebih sesuai untuk pelabur jangka panjang.
Trading dengan EMA
Strategi Reben EMA
Kadangkala, trader memantau Reben Purata Bergerak, yang memplot banyak Purata Bergerak pada carta harga, bukannya hanya satu purata bergerak. Walaupun kelihatan kompleks, Reben EMA mudah dilihat pada aplikasi carta dan menawarkan cara yang mudah untuk menggambarkan hubungan dinamik antara arah trend dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.
Trader dan penganalisis bergantung pada purata bergerak dan rebennya untuk mengenal pasti titik pusingan arah, kesinambungan trend dan situasi terlebih beli/terlebih jual, mentakrifkan kawasan sokongan dan rintangan serta mengukur kekuatan trend harga.
Untuk membina reben purata bergerak, plotkan banyak purata bergerak dengan tempoh masa yang berbeza-beza pada carta harga. Parameter yang lazim digunakan termasuk lapan atau lebih purata bergerak dan selang masa antara 2 hingga 400 tempoh. Reben EMA yang paling popular terdiri daripada lapan baris, daripada EMA 20 tempoh hingga EMA 55 tempoh.
Apabila semua purata bergerak berkumpul menjadi satu titik pada carta, trend menunjukkan kelemahan, memberikan petunjuk kemungkinan akan berlakunya penyongsangan. Perkara sebaliknya adalah benar jika purata bergerak mencapah dan semakin merenggang, menunjukkan bahawa harga sedang turun dan naik dengan signifikan dan arah trend adalah kuat atau sedang menguat.
Dalam trend menurun, purata bergerak yang lebih pendek menyilang ke sebelah bawah purata bergerak yang lebih panjang. Dalam trend menaik, sebaliknya, purata bergerak yang lebih pendek menyilang ke sebelah atas purata bergerak yang lebih panjang.
Reben purata bergerak mudah ditafsirkan. Indikator-indikator ini mencetuskan signal beli dan jual apabila garis purata bergerak semuanya bersilang pada satu titik. Trader mempertimbangkan untuk beli apabila purata bergerak jangka pendek menyilang ke atas purata bergerak jangka panjang dari bawah, dan jual apabila purata bergerak yang lebih pendek melintasi semua garisan lain dari atas ke bawah.


Selain itu, trader menggunakan Reben EMA sebagai aras sokongan dan rintangan:
Jika semasa trend menaik harga menembusi Reben EMA dan candlestick ditutup di bawah Reben EMA, ia adalah signal jual.
Begitu juga sebaliknya, jika semasa trend menurun harga menembusi Reben EMA dan candlestick itu ditutup di atas Reben EMA, ia adalah signal beli.


Penting: Untuk memudahkan analisis, pastikan semua purata bergerak dalam reben adalah daripada jenis yang sama. Gunakan hanya EMA atau SMA.
Strategi dua EMA
Strategi yang disenaraikan di bawah sesuai untuk swing trader. Kami syorkan agar anda menggunakan rangka masa H1. Ia paling sesuai dengan strategi ini, kerana menggunakan dua EMA pada rangka masa yang lebih rendah mungkin menimbulkan banyak hingar bingar yang mengganggu.
Strategi untuk membuka posisi long:
Tunggu EMA pendek melintasi EMA panjang dari bawah ke atas.
Tunggu pengesahan lain (penembusan aras penting).
Letakkan Renti Rugi (SL) anda di belakang paras tertinggi atau paras terendah terakhir.
Pantau arah purata bergerak.
Tutup posisi anda selepas EMA pendek melintasi EMA panjang ke bahagian bawah atau setelah harga mencapai sasaran anda.


Jika garis hitam (EMA pendek) melintasi garisan kelabu (EMA panjang) dari atas ke bawah, ini mungkin isyarat peluang untuk membuka posisi jual. Anda perlu menutup posisi anda apabila EMA pendek melintasi EMA panjang dari bawah ke atas.
EMA boleh digunakan sebagai sokongan dan rintangan dinamik
Purata Bergerak juga boleh menunjukkan kawasan sokongan dan rintangan. EMA yang condong ke atas cenderung untuk menyokong aksi harga, manakala EMA yang condong ke bawah cenderung memberikan rintangan kepada aksi harga. Trader harus membuka urusniaga beli apabila harga menghampiri EMA yang meningkat dan menjual apabila harga menghampiri EMA yang menurun. Untuk strategi ini, EMA 25 pada carta H1 adalah yang paling sesuai.


Ringkasan
Bilangan dan jenis purata bergerak yang digemari berbeza-beza bagi setiap trader, bergantung pada strategi pelaburan dan indeks atau sekuriti pendasar. Namun EMA sangat popular kerana ia memberikan lebih pemberat kepada harga yang terkini, kurang lamban berbanding purata bergerak yang lain. Ada banyak strategi hebat yang menerapkan penggunaan EMA, dan Reben EMA adalah salah satu alat yang paling berguna untuk membantu trader mencari titik masuk dan mengesan penyongsangan arah pasaran.